Menziarahi Kpl Rosli Abu di Selandar, Melaka

Selandar, Melaka | 20 Disember 2025

Setelah menerima perkhabaran mengenai keadaan kesihatan Bekas Koperal Rosli bin Abu, bekas anggota Cawangan Mekanis semasa berkhidmat di Pusat Latihan Armor, beberapa orang ahli Persatuan Bekas Jurulatih Mekanis telah berkesempatan meluangkan masa untuk menziarahi beliau di kediamannya di Taman Selandar Indah. Beliau mempunyai lima anak, semuanya lelaki dan semuanya telah berumah tangga. Isteri beliau bekerja di sebuah kedai makan di kawasan Kesang Pajak Melaka.

Kehadiran kami telah disambut oleh isteri beliau yang turut berkongsi perkembangan terkini mengenai keadaan kesihatan Kpl Rosli. Difahamkan, beliau mengalami cervical nerve compression, atau lebih dikenali sebagai urat saraf tersepit di bahagian leher. Keadaan ini telah menyebabkan tahap keupayaan pergerakan beliau semakin berkurangan dari semasa ke semasa, sehingga akhirnya beliau hanya mampu berbaring dan memerlukan penggunaan lampin pakai buang.

Kpl Rosli terpaksa duduk di kerusi roda, namun beberapa ketika beliau perlu berbaring untuk berehat.

Antara sahabat berhampiran yang menziarahi

Setelah menunggu giliran rawatan, Kpl Rosli telah menjalani pembedahan pada tulang belakang bahagian leher. Difahamkan, sebahagian kecil tulang atau cakera (disc) terpaksa dikeluarkan bagi mengurangkan tekanan terhadap urat saraf yang tersepit. Pasca pembedahan, beliau kini melalui proses pemulihan yang memerlukan tempoh masa tertentu serta pelaksanaan sesi fisioterapi secara berterusan. Difahamkan, kos rawatan perubatan di Hospital Besar Melaka ditanggung oleh Jabatan Hal Ehwal Veteran. Demi meringankan beban, lampin pakai buang juga diterima dari JHEV dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Isteri Kpl Rosli, no 2 dari kiri menerima cenderahati

Setiausaha Persatuan sebagai mewakili bekas anggota Cawangan Mekanis menyampaikan sumbangan derma dari sahabat-sahabat

Walaupun Kpl Rosli kini menghadapi kesukaran untuk berkomunikasi dengan baik, daya ingatan beliau masih kuat dan beliau tetap mampu mengenali setiap individu yang hadir menziarahi beliau. Emosi beliau jelas kelihatan berubah pada ketika-ketika tertentu, menzahirkan perasaan sedih, terharu, dan penghargaan atas keprihatinan serta usaha sahabat-sahabat yang sudi meluangkan masa menziarahi beliau dalam keadaan uzur.

Sesungguhnya, kesakitan dan ujian kesihatan merupakan sesuatu yang tidak dapat dielakkan dalam kehidupan. Tiada siapa yang akan kekal sihat selamanya, dan setiap insan pasti akan diuji pada masa dan ketika yang telah ditentukan.

Tahniah dan setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada Ahli Jawatankuasa Persatuan Bekas Jurulatih Mekanis, khususnya AJK Kebajikan dan Bendahari, atas inisiatif melaksanakan program derma kilat. Usaha murni ini telah memberi peluang kepada sahabat-sahabat yang berada jauh untuk turut menyumbang dan diwakili, sekali gus meringankan beban serta menyampaikan sokongan moral kepada Kpl Rosli dan keluarga beliau. Untuk sahabat-sahabat yang belum mendaftar keahlian, marilah sama-sama bergabung dengan mendaftar di https://online.exmekanize.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *